First Pregnancy Journey: Pengalaman Keguguran Anak Pertama

Assalamualaikum..

Harini aku nak cerita dekat sini pasal keguguran anak pertama aku November 2018 yang lalu. Dah hampir 9 bulan perkara ni berlaku tapi masih ingat dalam ingatan dan nak cerita kat sini supaya ingat sampai bila bila tentang anak mama yang pertama menghuni di rahim mama hampir 15 minggu..

Aku nikah pada 21.07.2018 dan sebulan lebih lepas tu aku disahkan mengandung lepas lebih seminggu tak datang bulan. Mula mula aku cek sendiri lah kan kat rumah lepastu pergi scan kat klinik swasta. Masa tu taktau nak rasa apa hahaha nervous and excited. Tarikh aku check test tu 13.09.2018 masa tu dah 5 weeks dah. 5 weeks ni aku dah start tak sedap badan, loya, mabuk semua lah. Pagi pagi nak pergi kerja tu rasa amatlah tak larat ye haha. Waktu paling selekeh aku time ni lah haha.

Aku dah lah pergi kerja naik train. Awal pagi tu okay sebab aku boleh dapat seat sebab aku station first tapi bila balik tu ya Allah dah lah ramai orang berhimpit kene berdiri smpai lah tinggal 2 atau 3 station lagi nak sampai Kajang baru aku dapat duduk. Dah lah cepat lapar kan so perut kosong campur naik train memang mengundang lah. Banyak kali lah bila sampai station Kajang je terus berlari ke toilet untuk muntah. Nasib baik suami sentiasa ada bersamaku hehe..

Masa 8 weeks ++ aku sempat lagi lah pergi honeymoon kat Cameron Highland sebab lepas kahwin tak sempat nak honeymoon kan haha. Bayangkan naik Cameron yang bengkang bengkok tu dalam keadaan mabuk lagi aduh menyesal jugak sebenarnya haha tapi dah book lama before mengandung lagi so teruskan juga lah. Aku tak cerita pun kat blog pasal percutian ni sebab tak sempat. Masa tu terlalu busy dengan kehidupan hahahaha..

Nak dijadikan cerita aku punya pregnancy masa minggu awal lagi dah selalu keluar macam keputihan tapi warna brownish macam tu. Aku selalu pakai panty liner sebab nak solat kan. Tapi tak bnyak dan tak besar pun. Kadang macam sejalur halus je. Masa check up dekat Klinik Kesihatan doktor kata takda apa. Then dalam 12 weeks macam tu adalah doktor suruh check kat hospital. Sekadar check je lah dia kata. Dia takut lah kalau ada infection ke apa kan.

Aku tak ingat berapa haribulan tapi Jumaat sebelum Deepavali aku ada ambik cuti dengan suami aku untuk pergi Hospital Kajang. Lama tunggu weh untuk dapat jumpa doktor tu tapi biasa dekat bawah doktor pelatih yang jaga. So yang check aku doktor pelatih lah. Dia check pakai mulut itik tu hahaha sakit! Lepastu consult dengan doktor dia kata takda apa. Kandungan semua selamat. Dia cuma ambik sample untuk bawak makmal nak tengok lendir tu ada kuman ke tidak. Datang balik appointment 14.11.2018 which is 2 minggu kemudian. Dia bagi ubat kuatkan rahim nama Duphasthon and ubat untuk masuk dekat bawah tu sebijik. So okaylah balik tu kelaparan siap pergi makan ayam penyet ha..

Then cuti Deepavali hari selasa. Dalam masa 5 hari dari tarikh pergi hospital sampai lah cuti Deepavali tu lendir yang keluar makin banyak. Bukan macam masa sebelum ke hospital. Rabu pagi tu ikutkan dah start kerja tapi rasa macam tak best bila lendir brownish makin banyak keluar. So ajak husband pergi klinik As Salam untuk scan baby. Siap ajak husband aku masuk dalam tau haha. Husband aku excited tengok screen tu sebab first time tengok baby gerak gerak. Masa tu doktor kata okay takda apa baby sihat aktif lagi. So dia bagi ubat yang sama untuk aku guna and bagi MC 3 hari sampailah Jumaat tu untuk aku bed rest. Bangun untuk pergi toilet je. Hehe seronok! Macam puteri raja dilayan sebegitu oleh encik husband.

So weekend macam biasa balik rumah mak aku haha. Then bila ahad tu balik semula ke Bangi sebab isnin dah start kerja and MC sudah habis sis. Sobss.. Masa ahad pagi kat rumah mak dah rasa macam makin bnyak darah keluar. Kalini bukan lendir lagi dah tapi darah! So malam tu cakap dengan husband esok lepas balik kerja nak pergi hospital nak check. So okaylah..

Esok pagi pergi kerja macam biasa. Cuma...... ada something pelik yang aku rasa dalam diri aku. Aku dah tak mabuk macam selalu dan dah tak lapar pagi pagi. Sebab selalunya pagi pagi aku mesti bantai nasi lemak. Tapi aku pergi jugak kerja sebab dah lama cuti. Masa dekat office ada officemate aku ni chinese pangkat makcik makcik gak lah dia tanya keadaan aku okay ke tak? Kalau tak okay tak payah pergi kerja. Pergi hospital. Kerja ni bukan keutamaan. Nanti dah tua bukan kerja tolong kita tapi family tolong kita. Haa amik kau banyak nasihat dia bagi haha.. Tapi bila kerja aku tak siap kelam kabut bebel kat aku jugak hmmm..

So aku pun decide ambik half day and ajak suami aku pergi Hospital Kajang untuk check. Dalam pukul 7 malam baru dapat jumpa doktor. 2 ke 3 kali jugak dia scan dan akhirnya dia cakap heartbeat baby dah takde. Doktor check laluan bawah tu dia kata dah terbuka sikit. So that's it....... my baby is gone... Aku taktau nak rasa apa. Sedih tapi macam taknak tunjuk sedih depan doktor so aku buat cool je lah kat situ. Doktor kata kena tahan wad jugak tapi tunggu ada wad kosong dulu. Dia bagi aku surat untuk daftar wad. Aku keluar bagitau husband. Nampak lah kesedihan dia tapi aku yang pujuk dia sebab taknak bagi kecewa sangat hehe. Aku suruh dia call mak aku sebab aku tak sanggup nak call takut ternangis hehe..

Dalam pukul 9 malam baru dapat masuk wad 12.11.2018. Esok tu doktor pakar round wad dia kata dia akan masokkan ubat induced untuk gesa baby supaya keluar dengan sendiri and elakkan buat DNC. Setiap 5 jam 1 ubat. Siang tu okay lagi. 3 ubat masuk tapi tak rasa apa lagi. Doktor kata kalau sakit pangil nurse mintak ubat tahan sakit. Aku pun okaylah.. Then malam dalam 830 doktor panggil untuk masuk ubat seterusnya. Doktor tanya nak masuk atau rehat dan tunggu esok? Aku jawablah masok je doktor. Lepas tu saya nak tidur sebab aku dah ngantuk sangat nii. Masa tu aku mintak sekali cucuk pain killer. Pukul 9 dia cucuk dan aku pun tidurlah dengan lenanya smpai pukul 12 tengah malam macam tu.

Lepastu aku terjaga dan tak boleh tidur sampai lah pukul 3 sebab sakit sangat. 5 minit sekali sakit contraction tu datang. Pukul 3 aku cakap kat doktor pelatih yang round kata nak pain killer. Dalam 3.30 pagi nurse datang cucuk. Pain killer tu kene ambik selang 6 jam. Then aku teruskan tidur tapi still sakit ye kawan kawan haha. Pukul 5.30 pagi macam tu aku rasa macam ada sesuatu keluar. Rasa macam aku terberak ke apa ni hahaha. Rupanya baby nak keluar and aku tersedar dan terus push supaya dia keluar habis. Ya Allah depan mata weh. Aku dengan darah meleleh leleh terus pergi ke meja nurse tengah tu 'nurse..dah keluar.....'

Doktor pun ambik baby and suruh aku masuk bilik untuk check ada baki yang masih tak keluar ke. Masa tu doktor kata okay takda apa so aku pun bersihkan lah diri tukar pad apa semua dan terus tidur. Malam tu tak cukup tidur menanggung kesakitan. Maka 14.11.2018 pukul 5.30 pagi lahirlah anak mama yang berusia 14weeks 5 days.. 

Esok pagi doktor pakar round wad and check laporan aku so dia tau lah baby dah keluar dia tanya macam mana okay tak ke apa ke. Aku cakap lah pain killer tak hilang rasa sakit pun hahaha. Doktor tu boleh pulak kata mungkin nurse cucuk air kot bukan ubat haha adoii. Doktor tu sambung kata pain killer tu untuk kurangkan sikit rasa sakit dalam 1 to 2 pain score. Bukan ubat bius yang buat tak rasa sakit langsung haha okay doktorr..

Baby pulak ayah aku datang ambik tengah hari tu dengan mak and bawak balik untuk kebumikan. Tanya ustaz macam mana nak kebumi dia kata cukup sekadar bersihkan dan tanam di tanah perkuburan dekat tepi tepi tu sebab baby dah cukup sifat cuma tak perlu batu nisan.

Hari tu temperature aku naik so dia tak boleh bagi aku balik selagi suhu tak normal. Maka duduk lah aku dalam wad walaupun dah tak sakit. 3 hari suhu badan aku tak turun and doktor dah ambik macam macam sample untuk check takut ade apa apa ke. Jumaat pagi 16.11.2018 doktor mintak aku pergi bilik scan nak tengok dalam rahim aku.

Doktor check dia kata masih ade ketulan darah tak habis keluar so diorang decide untuk aku masok OT dan buat DNC jugak. Huwaaaa nak nangis kenapa tak settle settle lagi nii.. Aku kene puasa terus and tunggu bilik bedah kosong. Pukul 7 malam baru aku kene tolak ke bilik bedah. Masa tu husband aku dah balik sebab dah habis waktu melawat. Pukul 10.30 malam baru settle and aku kene tolak masuk dalam wad. Masa tu baru dapat contact husband and bagitau keadaan macam mana haha.

Esok pagi kene scan lagi sekali dengan doktor yang in charge untuk aku dalam dewan bedah semalam tu. Dia kata semalam masa buat tu aku bleeding banyak sangat so dia tak dapat nak teruskan. Dan darah tu berbau sebab dah ada infection. Hmm aku dengar sedih sebab masih tak settle settle lagi. Aku dah stress duduk dalam hospital niii..

Then ada doktor pakar lagi sorang datang dia kata nak teruskan buat semula ke sebab kalau buat sekarang pun sama jugak. Kalau bleeding teruk lagi bahaya. So diorang bincang and come out dengan satu solution iaitu bagi aku discharged seminggu dan datang next monday untuk check up lagi sekali baki ketulan darah yang tinggal tu. Dengan syarat antibiotik dia bagi kene consume hari hari dan jangan culas! Kalau ada bleeding banyak sangat aku kena segera datang hospital. So aku katalah okay! hahaha yess boleh balik. So sabtu 17.11.2019 aku discharged. Alhamdulillah.

Next monday tu aku datang semula hospital untuk check up dan doktor kata dah okay! Semua darah beku dah berjaya dikeluarkan! Alhamdulillah again! So untuk menjaga kesihatan dan pastikan aku benar benar sihat so aku plan dengan husband untuk next baby. Dan sekarang dah nak habis tempoh plan so harapnya ada rezeki balik untuk dapat baby. Mama tak sabar nak jadi mama hehe.. Bye!

Comments

Popular Posts